SUNGAI BULOH – Identiti kanak-kanak perempuan, mangsa ke-25 dalam tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali-Genting Highlands masih belum dikenal pasti.
Mayat kanak-kanak berkenaan dipercayai dihantar ke Hospital Sungai Buloh sekitar pukul 1 pagi tadi dan difahamkan jasad mangsa sudah dibedah siasat sejurus tiba di Jabatan Forensik.
Sehubungan itu, identiti mangsa juga belum dapat didedahkan susulan pengecaman identiti belum dijalankan.
Dalam pada itu, pelawat yang dipercayai waris mangsa dilihat tiba di ruangan Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh sekitar pukul 11.40 pagi.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan mangsa terbabit ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 11.20 malam semalam. – KOSMO! ONLINE