PELAKON sinetron popular Indonesia, Tamara Bleszynski mengejutkan ramai apabila membuat keputusan menjual harta warisan peninggalan bapanya iaitu Hotel Bukit Indah Puncak di Cianjur, Jawa Barat.
Pengumuman penjualan tersebut dikongsikan menerusi Instagram dengan memuat naik foto-foto hotel serta nombor telefon yang boleh dihubungi bagi urusan jual beli,
Bintang filem Air Terjun Pengantin itu turut memuat naik video gambarnya berlatarkan hotel berkenaan sambil mengenang memori indah sewaktu kecil.
“Teman-teman tersayang, setelah bertahun-tahun saya akhirnya kembali lagi di hotel masa kecilku, Hotel Bukit Indah. Dahulu saya belajar berenang di sini,” tulisnya.
Dia turut meluahkan kerinduan kepada bapanya Zbigniew Bleszynski yang meninggal dunia 20 tahun lalu.
Pada Disember tahun lalu, Tamara mengambil tindakan undang-undang terhadap tiga individu yang didakwa cuba menggelapkan hartanah tersebut.
Dia yang mempunyai 20 peratus saham mendakwa telah diketepikan daripada segala urusan, namun terpaksa menanggung hutang hotel tersebut.