fbpx

Remaja jadi manja dengan ibu sebelum dijemput Ilahi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Safinah menunjukkan gambar arwah anaknya, Muhammad Izani.

SUNGAI PETANI – Seorang daripada tiga mangsa yang maut dalam nahas di Kilometer 63.5, Jalan Alor Setar-Butterworth di sini awal pagi semalam seolah-olah tahu dia akan pergi selama-lamanya.

Ibu mangsa, Safinah Zakaria, 48, berkata, arwah anaknya, Muhammad Izani Mohd. Tuah, 15, berkelakuan manja apabila memeluk dan mencium pipinya sebelum tidur pada malam Sabtu lalu.

Menurut Safinah, arwah anaknya tinggal bersama sepupunya kerana bekerja sambilan di sebuah kedai makan di Taman Semarak di sini, manakala dia pula menetap di Taman Keladi.

“Sewaktu berada di Alor Setar, saya menerima panggilan daripada sepupu arwah yang memberitahu Izani terlibat dalam kemalangan.

“Saya menghubungi telefon bimbit anak, ada individu tidak dikenali menjawab panggilan dan minta saya datang ke lokasi melihat keadaan anak yang parah di kepala dan sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini semalam.

Safinah yang juga ibu tunggal tidak menyangka kelakuan manja arwah memeluk dan menciumnya sebelum tidur menjadi kenangan terakhir buatnya bersama anak bongsu daripada empat beradik tersebut.

“Saya reda dengan ujian ini dan berdoa agar arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Rosdi Abd Rahman, 50, pula memberitahu, arwah anaknya, Muhammad Aiman, 17, bersikap pendiam dan lebih banyak menyendiri sebelum dijemput ajal dalam kemalangan tersebut.

“Sebelum itu, Aiman keluar rumah memandu kereta jenis Honda EG milik abangnya. Apabila abangnya telefon, dia beritahu keluar makan bersama kawan-kawan,” ujarnya.

Anak kelima daripada tujuh beradik itu manja dengan arwah ibunya yang meninggal dunia akibat Covid-19 pada tahun lalu.

Dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi itu, tiga remaja lelaki maut, manakala dua lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas.

Selain Muhammad Aiman dan Muhammad Izani, kemalangan itu turut meragut nyawa penumpang belakang, Mohd. Iman Mohd. Akhir, 17. Mereka meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua lagi rakan mereka iaitu Muhammad Zulhakim Zulkhairi, 17, cedera parah dan dirawat di HSAH manakala Alif Danial Abdul Aziz, 15, pula cedera ringan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI