ABUJA, Nigeria – Sepasukan polis moral di sebuah bandar utama di utara Nigeria menahan 19 individu beragama Islam yang didakwa menghadiri satu majlis perkahwinan pasangan sejenis, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Mereka menyerbu majlis itu di bandar Kano selepas mendapat maklumat, kata jurucakap polis, Lawal Ibrahim Fagge.
“Pasangan yang masih belum melafazkan ikrar perkahwinan itu melarikan diri dan polis kini sedang mencari mereka,” tambah Fagge.
Majoriti penduduk di Kano beragama Islam di mana sistem perundangan Islam dikuatkuasakan bersama undang-undang sekular.
Perbuatan homoseksual adalah haram di bawah kedua-dua sistem perundangan di seluruh Nigeria, di mana mereka yang tinggal di utara kebanyakannya beragama Islam manakala penduduk di selatan sebahagian besar beragama Kristian.
Pasukan polis Islam Kano atau lebih dikenali sebagai Hisbah dan menguatkuasakan kod moral yang ketat.
Fagge memberitahu BBC bahawa pasukan polis tidak berhasrat untuk menghukum 15 tetamu lelaki dan empat wanita yang ditahan semasa serbuan pada Ahad lalu.
Sebaliknya, kumpulan yang dikatakan termasuk golongan gay itu sedang menjalani ‘sesi kaunseling’, dan ibu bapa atau penjaga mereka digesa untuk tampil ke hadapan.
“Kami akan mengambil jalan lain sebelum mendakwa mereka di mahkamah. Mula-mula kami menasihati mereka dan melibatkan ibu bapa. Kami berharap mereka mengubah gaya hidup mereka,” kata jurucakap Hisbah.
Mahkamah Islam Kano tidak pernah mensabitkan sesiapa kerana menjadi gay.
Kumpulan hak asasi manusia di Nigeria telah lama berkempen agar hak golongan gay dihormati tetapi terdapat penentangan kuat terhadapnya di mana ramai orang Islam dan Kristian menegakkan nilai agama yang konservatif. – Agensi