fbpx

Peniaga Ole-Ole Melaka resah, barang tak laku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suasana di pusat kraf Ole-Ole Melaka yang kelihatan sepi kerana pelanggan tidak banyak membeli barangan dijual di Banda Hilir, Melaka semalam.

MELAKA – Pelancong domestik kini seolah-olah hilang kuasa membeli apabila kebanyakan didakwa hanya melihat-lihat barangan kraf atau produk tempatan yang dijual di lokasi pelancongan.

Tinjauan Kosmo! di pusat kraf Ole-Ole Melaka di Banda Hilir di sini yang menawarkan lebih 200 produk tempatan dipenuhi pelancong pada hujung minggu.

Bagaimanapun, tinjauan di premis-premis di pusat niaga itu mendapati, hanya beberapa kedai yang mempunyai pelanggan, selebihnya hanyalah aktiviti ‘mencuci mata’ melihat produk-produk tradisional untuk dijadikan buah tangan.

Seorang pengurus kedai, Nur Alia Omar, 25, berkata, pendapatan premisnya merosot lebih 60 peratus apabila hanya sekitar 10 pelanggan yang singgah dan membeli, manakala hujung ­minggu cuma ada 20 pelanggan.

“Kedai saya dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam, hujung minggu pula sehingga 12 tengah malam.

“Jumlah pelanggan yang membeli sangat kurang, mereka kata barangan ini mahal walaupun kita tawarkan set ole-ole tiga RM10 atau lima RM20,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, kuasa membeli pe­langgan tidak lagi sehebat sebelum negara dilanda pandemik Covid-19 dan kebanyakan pelancong hanya mampu mengeluarkan belanja asas perjalanan.

“Saya pun tidak tahu berapa lama lagi premis ini mampu bertahan kerana kos sewa kedai sahaja RM20,000 sebulan, belum masuk bil elektrik dan gaji pekerja,” luahnya.

Sementara itu, pekerja di sebuah premis lain, Muhammad Faizzudin Ishak, 29, memberi­tahu, situasi itu menyebabkan peniaga resah memikirkan stok produk makanan yang mempu­nyai tarikh luput.

“Kedai saya terletak di te­ngah, jadi saya boleh nampak pelanggan yang masuk dan keluar, memang kebanyakan mereka pulang dengan tangan kosong.

“Apa yang kita risau adalah produk makanan yang boleh rosak ini seperti lemau dan tengik, kadangkala kita terpaksa berhenti ambil bekalan daripada pengusaha kerana mahu habiskan stok di kedai,” katanya.

Ujarnya, suasana itu tidak berubah meskipun pada cuti umum sempena Pilihan Raya Umum Ke-15, 18 November lalu.

“Kami fikir bila ramai orang balik mengundi pelanggan bertambah, tetapi sangkaan itu me­leset. Suasana masih sama, tak ramai yang membeli,” ujarnya.

Khairulazmi Azlan, 32, yang menjual ole-ole pakaian pula memberitahu, dia hanya mengharapkan pelancong yang datang dengan rombongan dari mana-mana agensi yang berpotensi untuk membeli baju.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI