KUALA LUMPUR – Seorang bapa yang bertindak kejam dipercayai mendera anaknya sehingga maut sebelum menanam mayat mangsa di tepi jalan tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini sebentar tadi.
Hari ini difahamkan suspek yang berusia 40-an itu akan didakwa di dua mahkamah iaitu Majistret dan Sesyen yang mana pendakwaan akan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-Kanak 2001.
Pada 12 Disember lalu, Kosmo! melaporkan seorang bapa bertindak kejam dipercayai mendera anaknya sehingga maut sebelum menanam mayat mangsa di tepi jalan diberkas.
Difahamkan, suspek yang merupakan lelaki tempatan itu menanam anak perempuannya berusia sembilan tahun di kawasan tepi jalan Taman Dusun Bandar, Jalan Bellamy, di sini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada isteri suspek mendakwa suaminya mendera anak mereka.
Menurut polis, isterinya yang merupakan wanita warga asing berusia 40-an itu membuat laporan polis Jumaat lalu selepas mendapati anaknya dalam keadaan lemah dan mempunyai darah di mulut.
Isteri suspek menyedari keadaan anaknya itu sebaik pulang bekerja sekitar pukul 7 malam di kediaman mereka di Jalan Pudu.
Mengulas lanjut, Noor Dellhan berkata, bertindak atas maklumat, polis berjaya mengesan lalu menangkap suspek kira-kira pukul 12.30 tengah hari di Jalan Pasar Pudu.
“Suspek berusia 40-an mengaku telah menanam mangsa di tepi jalan Taman Dusun Bandar, Jalan Bellamy di sini,” kata Noor Dellhan. – KOSMO! ONLINE