BALIK PULAU – Penggemar durian di sini yang tidak mengenali tauke atau tuan kebun tiada peluang untuk membeli raja buah itu ekoran kebanyakan pokok tidak menjadi pada penghujung musim Disember tahun ini.
Pengusaha kebun durian, Tan Chee Keat, 30, berkata, setakat ini, hanya 20 peratus pokok yang menjadi kerana kebanyakan bunganya gugur ke tanah ekoran musim hujan yang melanda negeri berkenaan.
Katanya, pengeluaran buah durian pada akhir tahun 2022 ini didapati berkurangan berbanding hasil yang diperoleh antara 40 sehingga 60 peratus pada tempoh sama tahun lalu.
“Ia disebabkan hujan yang berterusan sehingga ke hari ini menyebabkan banyak bunga durian gugur.
“Peminat durian premium mungkin tidak dapat merasai lagi buah kegemaran mereka pada penghujung musim 2022. Ini kerana, hanya 13 hingga 20 peratus buah sahaja yang menjadi ketika ini,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Chee Keat, hanya pembeli yang mengenali tuan kebun atau tauke kedai yang dapat menikmati buah akhir itu tetapi dalam jumlah yang sedikit sekitar tiga biji sahaja.
Berita berkaitan: ‘Terpaksa beri buah durian percuma kepada orang ramai’
Tambahnya, keadaan itu bukan sahaja membuatkan peminat tempatan terpaksa menahan nafsu memakan durian, bahkan melibatkan orang luar negara yang sukar mencari raja buah itu pada hujung musim.
“Harga bagi jualan buah durian premium dikatakan masih kekal sama dan berpatutan meskipun berlaku kekurangan di peringkat pengeluar atau pekebun.
“Kuantiti buah di atas pokok tidak banyak, kita pun kira sama sahaja. Memang tiada berlaku kenaikan harga sebab ini luar dari musim durian bulan Mei,” katanya.
Ujar Chee Keat, ketika ini harga bagi durian horlor, udang merah dan kapri dijual RM25 sekilogram, manakala duri hitam (RM55), musang king (RM42) dan kulit hijau (RM18),” jelasnya.
Berita berkaitan: Musang king dijual murah, RM17 sekilogram
Dalam pada itu, Chee Keat berkata, keadaan cuaca yang tidak menentu juga menyebabkan pengeluaran buah durian bagi tahun 2023 dijangka berkurangan.
“Memang stres sebab purata durian yang dapat dipilih untuk eksport keluar ketika ini adalah kecil sekali. Kami juga tidak buat promosi,” ujarnya.