fbpx

Caj masuk View Point Wang Kelian mulai hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengunjung dikenakan bayaran masuk ke View Point Wang Kelian mulai hari ini.

KANGAR – Bayaran masuk yang dikenakan kepada pengunjung View Point Wang Kelian berkuat kuasa hari ini adalah bagi kerja-kerja penyelenggaraan lokasi pelancongan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Perlis, Wan Badariah Wan Saad berkata, caj dikenakan sangat minimum dan tidak terlalu membebankan.

“Langkah itu juga dapat membantu kerajaan negeri mengurangkan bebanan bagi menanggung kos penyelenggaraan di kawasan tersebut.

“Bayaran yang dikenakan itu adalah untuk memastikan semua aspek penyelenggaraan infrastruktur termasuk pengurusan sampah dapat dilakukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 di sini hari ini.

Sebagai rekod, View Point Wang Kelian mendapat pengiktirafan Gold Award Must Visit Place (Northern) sempena Malaysia Tourism Council Gold Award 2022 yang diadakan di Sarawak pada 22 Oktober lalu.

Menerusi notis pemakluman dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, pengunjung dewasa tempatan dikenakan bayaran RM2 seorang manakala pelancong dewasa luar negara pula sebanyak RM5 seorang.

Selain itu, pengunjung tempatan berusia 18 tahun ke bawah dikenakan bayaran RM1 seorang manakala pelancong luar negara berusia 18 tahun ke bawah pula dikenakan bayaran RM2 seorang.

Tiada bayaran dikenakan kepada kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah dan golongan orang kelainan upaya (OKU).

Dalam pada itu, Wan Badariah berkata, kerajaan negeri juga akan menyediakan beberapa kemudahan asas lain di situ bagi keselesaan pengunjung antaranya dengan tapak glamping. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI