PUTRAJAYA- Kerajaan bersetuju untuk meminda akta-akta berkaitan dan mengemukakan tujuh Rang Undang-Undang (RUU) membabitkan cadangan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, mesyuarat Kabinet hari ini telah meneliti dan membincangkan semula mengenai cadangan tersebut.
Katanya, tujuh RUU itu adalah RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022; RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2022; RUU Keadilan Jenayah (Pindaan) 2022; RUU Penculikan (Pindaan) 2022; RUU Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (Pindaan) 2022; RUU Senjata (Pindaan) 2022 dan RUU Dadah Berbahaya (Pindaan) 2022.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan Kabinet kerana telah bersetuju untuk meneruskan usaha penyemakan undang- undang berkaitan dengan hukuman mati mandatori,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, Jabatan Peguam Negara telah meneliti dasar pelaksanaan cadangan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori melibatkan 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori sebagaimana peruntukan Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api Lebih Berat 1971.
“Turut diteliti ialah 23 kesalahan yang membawa hukuman mati tertakluk budi bicara Mahkamah di bawah Kanun Keseksaan, Akta Senjata 1960, Akta Senjata Api Lebih Berat 1971 dan Akta Penculikan 1961.
“Penangguhan pelaksanaan hukuman mati (moratorium) masih dikekalkan bagi pesalah hukuman mati sehingga semua pindaan RUU tersebut dilaksanakan,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE