fbpx

‘Biasalah tugas wakil rakyat bertekak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

AHLI Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya meraih sokongan majoriti usul undi percaya di Dewan Rakyat kelmarin. Perkataan yang sering kita dengar dan sering dibangkitkan adalah ‘keabsahan’ beliau sebagai Perdana Menteri.

Ia diulang-ulang sejak Anwar berjaya membentuk gabungan atau dikenali Kerajaan Perpaduan usai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu.

Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, keabsahan itu bermaksud keadaan sah atau kedudukan yang sah.

Kelmarin, usul undi percaya dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum dibahas oleh 12 Ahli Parlimen dalam tempoh lebih tiga jam.

Anwar berjaya memperolehi majoriti undi melalui undian suara. Untuk rekod, berdasarkan sokongan parti, seramai 148 orang Ahli Parlimen menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

Pecahannya merangkumi Pakatan Harapan (PH) sebanyak 82 kerusi, Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (6), Warisan (3), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (2), Parti Bangsa Malaysia (1) dan Bebas satu kerusi.

Selebihnya, pembangkang pula yang diketuai Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin dengan 74 kerusi milik Perikatan Nasional di Dewan Rakyat.

Seperti sidang-sidang sebelumnya, Dewan Rakyat kecoh dengan gelagat Ahli Parlimen yang bertelagah baik daripada blok kerajaan malah pembangkang sendiri.

Antara perkataan tidak berparlimen yang dilemparkan seperti ‘bodoh’, ‘beruk’ dan ‘penyamun’.

Speaker Dewan Rakyat yang baharu, Datuk Johari Abdul terpaksa mengeluarkan amaran terhadap kedua-dua blok. Bekas Ahli Parlimen Sungai Petani itu meminta Ahli-Ahli Parlimen agar tidak menjadi ‘batu ronson’ hingga menimbulkan kekecohan.

Walaupun baru kali pertama bersidang selepas PRU15 nampaknya suhu dalam Dewan terus hangat. Rakyat kadang-kadang rasa malu dengan sikap segelintirnya ahli Dewan.

Namun bukan semua, ada yang sangat bagus membawakan isu rakyat dan negara. Seperti gesaan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani supaya hentikan bermain politik dan fokus untuk membina negara dan ekonomi.

Hakikatnya perdebatan itu tidak berhabisan. Ibarat persoalan zaman kanak-kanak di bangku sekolah sama ada ayam atau telur dahulu wujud. Sedangkan kedudukan dalam Dewan itu sendiri tidak kekal.

Hari ini pembangkang entah-entah esok lusa sudah jadi kerajaan. Ini terbukti dalam penggal Parlimen sebelum ini. Macam berlari dalam bulatan cuma bertukar siapa yang mengejar dan dikejar sahaja.

Negara berdepan cabaran maha dahsyat ketika ini. Bencana banjir di Pantai Timur yang semakin buruk, tanah runtuh dan isu kos sara hidup yang tak berkesudahan.

Kelmarin semua sudah angkat sumpah Ahli Parlimen, sekurang-kurangnya pemimpin tampillah dengan idea-idea bernas. Buktikan kami memilih wakil-wakil rakyat yang betul-betul kompeten dan relevan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI