KUALA LUMPUR – Wad kanak-kanak Hospital Tunku Azizah (HTA), Kampung Baru di sini bagaikan rumah kedua buat seorang wanita dan bayinya, Muhammad Akid Mohd. Syamil Afiq yang berusia empat bulan terpaksa menjalani pelbagai rawatan selepas disahkan menghidapi masalah usus.
Aisha Tan Li Juan, 31, berkata, anak ketiganya itu disahkan mengalami komplikasi sejak dalam kandungan selepas doktor yang membuat imbasan mendapati perut Muhammad Akid kembung dan buncit.
“Muhammad Akid telah beberapa kali dibedah dan usus besarnya juga telah dibuang. Kini hanya tinggal usus kecil sahaja. Usus kecil itu juga dipotong dua dan dikeluarkan melalui perut bagi memudahkan proses pembuangan air besar.
“Bila dia (Muhammad Akid) buang air besar, semua najis masuk ke dalam beg stoma (kantung yang dilekat pada perut). Proses pembuangan air kecil seperti biasa namun perlu selalu tukar lampin pakai buang,” katanya.
Cerita Aisha, masalah pada salur pemakanan dan usus menyebabkan Muhammad Akid atau lebih mesra dipanggil Akid terpaksa minum susu berharga RM80 menggunakan tiub yang dimasukkan ke dalam perut.
“Selain Akid, anak kedua saya, Nur Safiya, 2, juga mengalami penyakit keradangan usus dan perlu minum susu mahal bagi memastikan dia kenyang. Nur Safiya juga telah beberapa kali dimasukkan ke unit rawatan intensif neonatal (NICU) akibat penyakit itu,” ujarnya.
Tambah Aisha, sama seperti Nur Safiya, Akid kini dalam pemantauan bagi melihat usus kecilnya berfungsi atau sebaliknya, selain memerlukan sokongan beg stoma, tiub susu dan keperluan lain secara berterusan.
Ibu kepada tiga orang anak itu memberitahu, dia terpaksa berhenti kerja selepas melahirkan Nur Safiya berikutan masalah kesihatan anak keduanya itu.
Katanya, suaminya menyara keluarga dengan bekerja melakukan servis pendingin hawa serta pendawaian.
“Pendapatan suami tidak menentu, kalau ada permintaan adalah rezeki buat kami sekeluarga. Sekiranya tiada bantuan diberikan, cukuplah dengan menggunakan khidmat suami.
“Anak sulung, Nur Mikayla dan Nur Safiya dijaga keluarga mentua ketika suami bekerja, manakala saya memang sepenuhnya berada di hospital menjaga Akid.
“Saya bersyukur kerana mempunyai sistem sokongan yang kuat daripada suami serta kedua-dua belah keluarga dan berharap mereka yang membaca perkongsian ini turut mendoakan anak-anak kami supaya sihat seperti kanak-kanak lain,” luahnya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank miliknya, Aisha Tan Li Juan (112679083167) atau hubungi Muhd. Syamil di talian 011-154 01938 bagi mendapatkan servis pendingin hawa serta pendawaian.