PETALING JAYA – Agrobank menawarkan Pelan Bantuan Banjir khusus buat pelanggannya yang terkesan akibat bencana banjir melibatkan penjadualan atau penstrukturan semula pembiayaan dan tawaran moratorium sehingga enam bulan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, pelan yang dirangka oleh Agrobank itu diharap dapat meringankan beban yang dihadapi mangsa banjir serta memastikan nasib komuniti agropreneur terbela.
“Ini bagi membolehkan pembangunan perniagaan pertanian mereka terjamin sekali gus meningkatkan kemampanan sosioekonomi komuniti pertanian serta membangunkan kestabilan sekuriti makanan negara,” katanya selepas melakukan lawatan ke ibu pejabat Agrobank hari ini.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, Agrobank turut memberikan pengecualian caj bagi penggantian kad ATM dan buku simpanan yang musnah akibat banjir.
Kata beliau, pelanggan Agrobank terlibat boleh memohon untuk mendapatkan kemudahan yang ditawarkan itu menerusi borang yang disediakan di laman sesawang Agrobank.
“Agrobank akan meletakkan perkara ini sebagai prioriti utama kami di mana kami juga akan turut menghubungi pelanggan-pelanggan yang terkesan bagi membantu mereka menghadapi situasi yang sukar ini,” katanya.
Bagi maklumat lanjut berkaitan Bantuan Banjir Agrobank boleh menghubungi pusat perkhidmatan pelanggan Agrobank di talian 1300-88-2476 atau e-mel ke [email protected]
atau layari www.agrobank.com.my. – KOSMO! ONLINE