LANSING, MICHIGAN – Seorang wanita di negeri Michigan berhasrat mendapatkan pengiktirafan Guinness World Records untuk seekor ayam peliharaannya yang dipercayai tertua di dunia, lapor agensi berita United Press International kelmarin.
Marsi Parker Darwin memelihara seekor ayam dinamakan Peanut yang kini berusia 20 tahun.
Menurutnya, dia menyelamatkan sejumlah ayam pada tahun 1990-an dan pada awal 2000-an, seekor ayam betina Nankin bertelur di dalam rebannya.
Satu daripada telur tersebut bagaimanapun gagal menetas, dan ketika Darwin bersedia untuk membuang telur itu, dia terdengar bunyi ciapan yang lemah.
“Saya akhirnya mengupas kulit telur itu kerana bunyi ciapan tersebut terlalu lemah dan saya bimbang anak ayam tersebut tidak akan selamat.
“Saya kemudian mengeluarkan Peanut yang berada dalam keadaan lemah dan basah serta membalut badannya dengan kain serta meletakkannya dekat pada dada saya,” ujarnya.
Peanut sejak itu menjadi sebahagian daripada haiwan peliharaan Darwin, dan ia tinggal di dalam rumah ketika musim sejuk.
“Saya sedar saya memiliki seekor ayam peliharaan yang tinggal di dalam rumah, sekurang-kurangnya buat masa ini,” kata Darwin.
Seorang rakan Darwin mencadangkan wanita itu membuat permohonan kepada Guinness World Records secara online bagi membolehkan haiwan tersebut diiktiraf sebagai ayam tertua di dunia.
Badan rekod dunia itu mempunyai senarai bagi kategori tersebut pada laman web miliknya namun, tidak menyertakan pemegang rekod semasa. – Agensi