PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap jingga (buruk) di beberapa negeri sehingga esok.
Antara kawasan terjejas ialah Terengganu (Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman), Pahang (Kuantan, Pekan dan Rompin) dan Johor (Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).
Menurut MetMalaysia, pihaknya turut mengeluarkan amaran hujan berterusan (waspada) di Kelantan, Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu), Pahang (Jerantut dan Maran) serta Johor (Segamat, Batu Pahat dan Pontian) bagi tempoh sama.
“Hujan berterusan dijangka berlaku di Sarawak melibatkan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang dalam tempoh Jumaat hingga Sabtu ini.
“Hujan berterusan dijangka berlaku di Sabah melibatkan Pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat, Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat serta Labuan dalam tempoh Jumaat hingga Isnin ini,” katanya.- KOSMO! ONLINE