KOTA BHARU – Seorang penternak ayam mengalami kerugian kira-kira RM25,000 apabila kesemua 4,000 ekor ayam ternakannya mati akibat ditenggelami banjir di Kampung Beris Arab, Pengkalan Chepa di sini kelmarin.
Nik Kamal Raja Hassan, 60, berkata, kesemua ayam yang mati dianggarkan berusia dalam lingkungan dua minggu hingga 35 hari.
Menurutnya, dia menyedari ayam-ayam tersebut mati kira-kira pukul 9 malam selepas dihubungi pekerjanya apabila air banjir sudah memasuki reban yang dibina setinggi satu meter.
“Saya terus bergegas ke reban dan cuba menyelamatkan haiwan tersebut yang dilihat cuba berenang, malah ada yang sudah mati ekoran ditenggelami air.
“Saya amat terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan kesemua ayam ternakan kerana paras air meningkat dengan cepat dengan arus deras,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Nik Kamal yang juga pesara guru berkata, dia hanya mampu melihat bangkai-bangkai ayam itu, lebih-lebih lagi 2,000 ekor sepatutnya sudah boleh dijual.
Katanya, mengikut perancangan, pemborong akan datang mengambil 2,000 ekor ayam, namun terkandas berikutan laluan masuk ke kawasan ternakan dinaiki air.
“Saya tidak jangka air naik di kawasan ini kerana penduduk setempat memaklumkan, tempat ternakan ayam yang saya usahakan ini tidak pernah terjejas banjir sebelum ini.
“Saya baru menternak ayam pertengahan tahun ini selepas mendapat bekalan anak ayam dari Pulau Pinang. Saya hanya sempat menjual sebanyak 2,000 ekor untuk peringkat pertama pada Oktober lalu,” katanya.
Kata Nik Kamal, dia berharap agar agensi terlibat dapat menyalurkan bantuan segera bagi meringankan bebanan yang kini ditanggungnya selepas mengalami kerugian besar.