JOHOR BAHRU – Dua penolong pegawai pendidikan yang bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tangkak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dakwaan menerima suapan masing-masing berjumlah RM4,500 dan RM1,500, tiga tahun lalu.
Abd. Razak Mohd. Darom, 40, dan Muhammad Faizal Abd. Razak, 37, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Abd. Razak diberi suapan RM4,500 daripada Siti Aminah Nahar, 39, sebagai bayaran bagi perkhidmatan penyediaan makan jamuan, mesyuarat atau seminar kecemerlangan guru Pendidikan Islam sekolah menengah dan sekolah kebangsaan tahun 2019.
Sementara itu, Muhammad Faizal pula didakwa diberi suapan RM1,500 daripada individu sama sebagai bayaran bagi perkhidmatan penyediaan makan jamuan, mesyuarat dan bengkel kerja pengurusan strategik PPD Tangkak.
Tertuduh dalam pengetahuannya tahu program berkenaan tidak dilaksanakan dan telah gagal melapor pemberian sogokan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mereka didakwa telah melakukan perbuatan tersebut pada bulan November 2019 di PPD Tangkak. Atas perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009.
Peguam kedua-dua tertuduh, Hazza Khalid memohon mahkamah memberikan jaminan rendah kepada kedua-dua tertuduh yang turut menanggung keluarga masing-masing.
Mahkamah kemudian menetapkan Abd. Razak dan Muhammad Faizal diberikan jaminan berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin, pasport diserah kepada mahkamah selain perlu melapor diri di pejabat SPRM Segamat sebulan sekali.
Ahmad Kamal Arifin turut menetapkan tarikh 19 Januari depan untuk sebutan semula kes dan penyerahannya dokumen berkaitan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nik Lokman Hakim Nik Mohd. Nor. – KOSMO! ONLINE