PETALING JAYA – Lebuh Raya Utara-Selatan dijangka mengalami peningkatan trafik sebanyak dua juta kenderaan sehari sempena cuti Krismas dan cuti hujung tahun bermula 23 Disember ini hingga 2 Januari 2023.
Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, jumlah trafik harian di lebuh raya kendalian PLUS ketika ini telah pun meningkat kepada 1.8 juta kenderaan sehari sejak cuti sekolah bermula berbanding 1.6 juta sehari direkodkan pada tahun 2019.
“Sejak kita memasuki fasa endemik, PLUS merekodkan jumlah trafik yang tinggi iaitu sebanyak 1.8 juta kenderaan sehari berbanding 1.6 juta kenderaan sehari pada tahun 2019 iaitu sebelum pandemik Covid-19.
“Berdasarkan corak perjalanan pelanggan dan data trafik ketika cuti perayaan dan cuti hujung tahun yang lalu, kami menjangkakan kira-kira 2 juta kenderaan akan melalui rangkaian lebuh raya kami setiap hari.
“Oleh itu, pelanggan (pengguna) lebuh raya disarankan mengikuti jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA). Pada masa sama, pelanggan juga dinasihatkan bersedia untuk menempuh tempoh perjalanan yang lebih panjang disebabkan lonjakan trafik ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Zakaria berkata, bagi perjalanan dari Lembah Klang pada 23 Disember 2022 hingga 2 Januari 2023, pengguna dari Lembah Klang menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya sebelum pukul 10 pagi.
Ujar beliau, bagi pengguna yang menuju ke lokasi yang lebih dekat atau ke negeri-negeri lain bagi tempoh berkenaan pula dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya antara pukul 12 tengah hari hingga pukul 4 petang.
Kata beliau, bagi perjalanan ke Lembah Klang pada 23 Disember 2022 hingga 2 Januari 2023, pengguna PLUS dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya sebelum pukul 10 pagi untuk perjalanan kembali semula ke Lembah Klang daripada Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Johor dan negeri-negeri lain.
“TTA bertujuan mengagihkan trafik dan mengurangkan kesesakan di lebuh raya, terutama di laluan-laluan kritikal, plaza tol dan kawasan rehat sepanjang musim perayaan ini.
“Ia direka untuk mengelakkan pelanggan yang menuju ke destinasi yang lebih jauh ‘bertembung’ dengan kumpulan kenderaan yang menuju ke destinasi yang lebih dekat.
“Jadual TTA boleh juga dirujuk di laman web PLUS di www.plus.com.my atau saluran-saluran media sosial kami,” jelas beliau.
Selain itu, katanya, PLUS telah mengeluarkan arahan pemberhentian kerja dan tiada penutupan lorong bermula 23 Disember hingga 26 Disember dan antara 30 Disember 2022 hingga 1 Januari 2023 untuk mengelakkan kesesakan di lebuh raya.
Bagaimanapun, katanya, penutupan lorong mungkin terpaksa diadakan bagi membolehkan kerja-kerja pengalihan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan, kerja pembersihan di lokasi kemalangan dan kerja-kerja pembaikan yang kritikal atas sebab keselamatan.
Justeru, beliau menasihatkan pelanggan lebuh raya merujuk laman Twitter PLUS untuk mendapatkan maklumat terkini atau menggunakan Aplikasi PLUS yang membolehkan mereka mengenal pasti kawasan mengalami kesesakan.
“Mereka juga boleh berkomunikasi dengan P.U.T.R.I (PLUS Unique Texting Realtime Interface) iaitu chatbot artificial intelligence lebuh raya yang pertama yang boleh membantu untuk merancang perjalanan mereka sewajarnya,” katanya.
Beliau seterusnya menyarankan pelanggan lebuh raya supaya menggunakan aplikasi lain seperti Waze dan Google Maps ketika perjalanan dan bersedia secara fizikal serta mental untuk perjalanan jauh.
“Pastikan kenderaan anda dalam keadaan yang baik, mendapat rehat yang cukup, dan sediakan keperluan penting seperti air, susu tepung bayi, ubat-ubatan untuk orang tua dan makanan ringan dalam kenderaan.
“Mereka digalakkan untuk berhenti rehat di kawasan rehat & rawat (R&R) atau hentian sebelah dari masa ke masa sebelum menyambung semula perjalanan,” katanya lagi.
Pengguna lebuh raya turut diingatkan supaya memastikan kad Touch ‘n Go atau e-wallet mereka mempunyai baki yang mencukupi bagi mengelakkan sebarang kesulitan. – KOSMO! ONLINE