HULU SELANGOR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki sembilan mangsa bencana tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm Jalan Batang Kali-Genting Highlands di sini sudah memasuki hari kelima hari ini.
Operasi SAR dilaksanakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Para petugas SAR meneruskan usaha mencari sembilan lagi mangsa yang masih belum ditemui bermula pukul 8.30 pagi tadi.
Semalam, operasi ditangguhkan kira-kira pukul 12 tengah malam setelah gagal menjumpai mangsa.
Terdahulu, dalam tragedi sekitar 2.42 pagi Jumaat, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan itu.
Seramai 94 mangsa terlibat dan daripada jumlah itu, 61 dilaporkan selamat manakala 24 lagi disahkan maut serta sembilan lagi masih belum ditemui. – KOSMO! ONLINE