HULU SELANGOR – Memasuki hari kelima operasi mencari dan menyelamat (SAR), sembilan lagi mangsa tanah runtuh yang hilang bertumpu di Sektor C (Riverside) di Father’s Organic Farm, Batang Kali-Genting Highlands.
Timbalan Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, anggota SAR menemukan peralatan seperti khemah, selimut dan tong sekitar tengah hari tadi.
“Kami menjumpai petanda-petanda yang memberi semangat untuk mencari sepertu tong, alat-alat perkhemahan serta selimut dipercayai milik mangsa tragedi tersebut.
“Penggalian dibuat di Sektor C dengan lebih terperinci tetapi perkembangannya negatif setakat ini,” katanya.
Jelasnya, kerja mencari mangsa masih dijalankan susulan cuaca baik sekaligus memudahkan kerja-kerja anggota SAR.
“Cuaca hari ini membantu operasi di mana kita memberi tumpuan kepada kerja pencarian menggunakan jentera berat.
“Cuma aliran air bergerak dari atas ke Riverside memberi sedikit cabaran kepada anggota kerana ia menyebabkan tanah lembik dan berair,” ujarnya.
Setakat ini, mangsa hilang dalam tragedi tanah runtuh berkenaan masih kekal 9 orang, 61 mangsa selamat dan 24 meninggal dunia. -KOSMO! ONLINE.