HULU SELANGOR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki sembilan mangsa bencana tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm Jalan Batang Kali-Genting Highlands di sini sudah memasuki hari kelima hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini menggunakan kekuatan 115 pegawai dan anggota.
“Sebanyak 11 unit jentera jengkaut dan dua anjing pengesan Unit Anjing Pengesan (K9) terlibat dalam SAR hari ini.
“Usaha pencarian bermula ada pukul 8 pagi, bermula dari zon C sehingga ke atas. Seramai 28 anggota digerakkan guna kaedah ‘sweeper’, bermula ‘ground zero’ sehingga sejauh 4 kilometer sekitar kawasan Sungai Kedondong,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau juga mengesahkan dua kenderaan ditemui, satu kenderaan milik pengusaha ladang manakala satu lagi milik syarikat yang masih belum dikenal pasti pemiliknya.
Menurut Suffian, pihak polis menerima dua laporan daripada ahli keluarga berkenaan orang hilang.
“Pihak waris boleh membuat laporan di mana-mana balai polis berdekatan supaya boleh berhubung dan menyelaras segala usaha,” katanya.
Semalam, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis mengalami masalah kesihatan manakala, dua pegawai SAR mengalami kecederaan ketika melakukan operasi. -KOSMO! ONLINE