fbpx

Tampil versatil dengan jaket denim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jaket menjadi pilihan wanita kontemporari yang mahu kelihatan santai, namun bergaya.

JAKET denim telah lama menjadi pilihan wanita kontemporari. Ia cukup santai tetapi sentiasa stylish, menjadikannya malar segar dalam fesyen.

Bagi tahun 2022, populariti gaya jaket denim makin bertambah terutamanya apabila digayakan oleh selebriti paling berpengaruh seperti Beyonce, Rihanna dan Lady Gaga.

Kini, selain daripada rekaan klasik biru, jaket denim juga didatangkan dalam warna kontemporari seperti hitam dan putih. Antara potongan jaket denim yang paling digemari adalah potongan cropped, saiz besar atau yang terkini, gaya potongan panjang (longline) yang semakin popular bagi gaya jalanan.

Sememangnya rekaan jaket denim telah melalui evolusi fesyen yang meletakkan ia sebagai rekaan kemestian, versatil dan paling mudah untuk disuai padan oleh sesiapa sahaja.
Berikut disenaraikan antara jaket denim yang menjadi pilihan.

-Jaket denim potongan cropped

Rekaan jaket denim potongan cropped dan pendek adalah gaya yang cukup fashionable serta menjadi kegemaran selebriti dan mereka yang pentingkan gaya.

Khloe Kardashian adalah antara selebriti yang sinonim dengan gaya ini.

Padanan yang selalu menjadi pilihan adalah jean skinny dan top renda warna sepadan.

Bagi yang pentingkan estetik kewanitaan, padankan jaket denim dengan gaun renda dan kasut tumit tinggi.

 

-Jaket denim panjang

Jaket denim panjang membawa rasa berani, kontemporari dan edgy pada penampilan. Kini ia didatangkan dalam denim yang ringan untuk mengelakkan penampilan yang nampak berat. Bagi wanita genit (petite), pastikan anda memilih padanan yang memberi definisi pada pinggang anda seperti seluar potongan slim atau fitted dan kasut tumit tinggi.

Peragawati dan bintang sosial media seperti Bella Hadid kelihatan hebat dengan kombinasi jaket denim, crop top, jean skinny rona biru gelap, kasut tumit tinggi dan kaca mata hitam.

Padanan ini cukup menarik untuk gaya hujung minggu. Untuk gaya chic dan ringkas pula, apa kata anda padankan jaket denim panjang, jean skinny dan kemeja putih. Bagi yang gemar menarik perhatian, serlahkan gaya bintang anda dengan seluar potongan lebar, pakaian dengan reka corak serta statement aksesori.

 

-Jaket denim biru

Jaket denim biru klasik merupakan pilihan gaya praktikal dan hebat yang seharusnya ada dalam almari kita. Ia sempurna untuk segala acara santai dan padanan pakaian kasual sepanjang tahun.

Untuk menyuntik aura kewanitaan, sebagai contoh, padankan jaket denim biru dengan gaun jalur atau dalam rona merah jambu dan kasut tumit tinggi dengan reka corak harimau bintang.

Apapun, paling penting kita perlu berani dan bijak bereksperimentasi. Serlahkan personaliti melalui jaket denim biru dengan variasi padanan pakaian dan aksesori yang tidak terbatas mengikut cita rasa anda.

Seperti jean, jaket denim biru cukup istimewa kerana sesuai dipadankan dengan apa jua warna.

Untuk cuaca panas, gayakan ia dengan warna terang, manakala bagi cuaca dingin pula warna gelap seharusnya menjadi pilihan.

Jaket biru sempurna untuk semua acara kasual.

-Jaket denim putih

Jaket denim putih mungkin tidak sesuai untuk semua, kerana jika salah gaya ia boleh menampakkan badan kita sedikit berisi daripada saiz sebenar.

Namun, bagi yang masih mahu mencuba, padanan denim jaket putih saiz besar dan jean potongan skinny atau lurus, selain dengan maxi skirt dalam fabrik berlainan, pasti dapat menyerlahkan aura feminin anda.

Anda juga boleh mengambil inspirasi daripada ikon muzik atau fesyen seperti Rihanna yang menggayakan kasut sneakers putih dengan padanan jaket denim putih.

Sneakers putih cukup seimbang untuk mengekalkan gaya minimal kasual ranggi. Perlu diingat padanan warna kontras adalah tidak sesuai dan sedikit janggal.

-Jaket denim hitam

Jaket denim hitam menyuntik elemen hip dan edgy kepada si pemakainya. Untuk gaya berani acara malam hari, padankan jaket denim hitam versi potongan panjang dengan but paras lutut dan choker sebagai pelengkap gaya.

Jaket denim hitam juga cukup cool untuk gaya kasual siang hari. Gaya lebih bersahaja dapat dicapai apabila kita padankan ia dengan jean potongan skinny, kemeja-T dan sneakers. Ia sealiran trend gaya athleisure yang begitu popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI