fbpx

Russia kerah pemuzik ke Ukraine ‘bakar’ semangat tentera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar memaparkan seorang ahli kumpulan muzik tentera Russia di Moscow. - Getty Images

MOSCOW – Russia akan menghantar kumpulan pemuzik ke barisan hadapan perang di Ukraine untuk menaikkan semangat tentera yang bertempur, lapor laman berita Wion News kelmarin.

Kementerian Pertahanan Russia mengumumkan pembentukan ‘briged kreatif barisan hadapan’ yang terdiri daripada pemuzik dan vokalis.

Tentera barisan hadapan Russia yang berada di Ukraine sebelum ini menerima kunjungan Menteri Pertahanan, Sergei Shoigu.

Kementerian itu memuat naik kenyataan menerusi aplikasi mesej Telegram memaklumkan bahawa Shoigu mengadakan lawatan di sekitar penempatan tentera dan memeriksa kedudukan unit Russia di zon operasi ketenteraan khas.

Beliau dilaporkan turut bercakap dengan anggota tentera di barisan hadapan dan di pos komando.

Lawatan itu dibuat selepas pegawai pertahanan Britain mendakwa kelmarin bahawa semangat yang rendah menjadi ‘kelemahan ketara merentasi sebahagian besar pasukan tentera Russia’.

Kata Shoigu, penubuhan briged pemuzik adalah berdasarkan bagaimana ‘muzik ketenteraan dan hiburan yang teratur’ digunakan dalam sejarah untuk menyuntik semangat anggota tentera.

Britain, bagaimanapun mempersoalkan sama ada briged pemuzik berupaya mengalihkan perhatian askar Russia yang bimbang tentang pelbagai isu termasuk kadar kematian yang tinggi, kelemahan kepimpinan, masalah gaji, kekurangan peralatan dan peluru di samping mereka kurang jelas tentang objektif perang di Ukraine.

Akhbar Russia, RBC News melaporkan bahawa briged pemuzik direkrut adalah termasuk calon di bawah usaha pengambilan Presiden Vladimir Putin bersama-sama dengan ‘artis profesional yang secara sukarela memasuki perkhidmatan tentera’.

Unit baharu itu akan diberi tugas untuk mengekalkan ‘keadaan moral, politik dan psikologi yang tinggi dalam kalangan peserta operasi ketenteraan khas’. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI