fbpx

Piala Dunia: Penantian lama Argentina bernoktah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARGENTINA mengakhiri penantian apabila menjulang Piala Dunia apabila menewaskan Perancis selepas kali terakhir melakukannya pada 1986. – AFP

LUSAIL – Ketua Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni menyifatkan aksi final Piala Dunia 2022 sebagai sesuatu yang gila selepas mereka muncul juara dengan menewaskan Perancis 4-2 dalam aksi penentuan sepakan penalti di Stadium Lusail awal pagi semalam.

Perlawanan berlangsung da­lam keadaan cukup rancak selepas kedua-dua pasukan terikat seri 3-3 sepanjang 120 minit permainan sehingga pemenang terpaksa ditentukan menerusi aksi penentuan sepakan penalti.

Pada perlawanan tersebut, skuad La Albiceleste menja­ringkan tiga gol menerusi dua ja­ringan Lionel Messi dan satu gol Angel Di Maria, manakala gol Perancis disumbangkan Kylian Mbappe yang meledak hatrik.

Scaloni menjelaskan, mereka sepatutnya menamatkan permainan dalam tempoh 90 minit, namun ia tidak berhasil meski­pun Argentina sudah mendahului perlawanan 2-0 sehingga ke 10 minit terakhir.

“Perlawanan hari ini (semalam) sangat gila. Sebagai jurulatih, saya tahu kami mengharu­ngi satu perlawanan yang sangat baik, namun tidak bernasib baik untuk menjadi juara dalam tempoh 90 minit.

“Semua pemain sudah memberikan segala-galanya dan saya dapat merasakan satu perasaan yang cukup hebat. Saya langsung tidak ada perancangan untuk menjadi juara, tetapi apa yang penting sekarang kami sudah berjaya lakukannya,” kata beliau.

Kejayaan itu juga sekali gus menamatkan penantian Argentina untuk menjulang trofi Piala Dunia buat julung kalinya selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 1986 di era legenda, Diego Maradona.

Scaloni juga memberi jaminan bahawa Argentina sedia ‘menyimpan’ satu slot untuk Messi sekiranya dia berhasrat untuk terus menyarung jersi biru putih itu pada saingan Piala Dunia 2026 nanti.

“Saya mahu simpan satu slot untuk dia (Messi) bagi Piala Dunia 2026. Sekiranya dia mahu bermain, dia akan bersama kami, namun ia terpulang kepada keputusan yang dibuat nanti.

“Ia satu penghormatan kepada kami jika dia terus bersama untuk saingan Pia­la Dunia sete­rusnya. Saya tidak pernah jumpa seorang pemain yang memberikan segala-galanya seperti Messi,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI