fbpx

Peruntukan RM3 juta baik pulih runtuhan cerun Taman Berlian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Runtuhan cerun Taman Berlian.

SEREMBAN – Sebanyak RM3 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri untuk kerja membaik pulih cerun yang runtuh akibat mendapan tanah di Taman Bukit Berlian di sini sehingga menyebabkan tiga buah kereta terjunam awal bulan lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Chew Seh Yong berkata, kerja-kerja membaik pulih telah bermula semalam dan dijangka mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan sepenuhnya.

“Ia membabitkan pembaikan cerun sepanjang 120 meter dengan kedalaman 30 meter dan jika berjalan lancar ia akan dapat disiapkan dalam tempoh tiga bulan.

“Runtuhan cerun ini berpunca daripada aliran air luar biasa terutama pada waktu hujan lebat yang menyebabkan tanah menjadi lembut, seterusnya berlaku pergerakan,” katanya ketika ditemui melawat kerja-kerja baik pulih Taman Berlian di sini hari ini.

Menurut Seh Yong, seramai 47 penduduk terjejas yang tinggal di 12 buah rumah di jalan berkenaan kini masih menyewa di tempat lain berikutan kediaman mereka perlu dikosongkan.

“Buat sementara, 47 penduduk di kawasan berhampiran tidak boleh tinggal di rumah mereka sehingga projek pembaikan cerun itu selesai.

“Dalam tempoh tersebut bayaran sewa rumah mereka akan ditanggung oleh kerajaan negeri,” katanya.

Seh Yong memberitahu, beliau berterima kasih kepada penduduk yang memberi kerjasama baik kepada kerajaan negeri dan mencari rumah sewa dengan harga berpatutan.

“Kita berharap kerja-kerja pembaikan ini dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan. Penduduk juga hanya dibenarkan pulang sebaik saja projek pembaikan selesai dan kawasan itu didapati benar-benar selamat,” katanya.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan, tiga buah kereta menggelongsor dan terjatuh ke dalam cerun sedalam kira-kira 10 meter dalam kejadian tanah mendap dan runtuh di Taman Bukit Berlian di sini awal pagi 1 Disember lalu.

Runtuhan cerun di situ turut diisytiharkan sebagai kawasan bencana susulan berlaku pergerakan tanah yang berisiko tinggi menyebabkan runtuhan lebih besar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI