fbpx

Pendaki sesat ditemui selepas hampir 48 jam hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chin Chai, 56, yang sesat ketika mendaki berseorangan di Kawasan Pulai Hijauan, Skudai, Johor ditemui selepas hilang selama hampir dua hari.

JOHOR BAHRU – Seorang pendaki berusia 56 tahun yang dilaporkan hilang sejak kelmarin ketika mendaki secara bersendirian di kawasan Pulai Hijauan, Skudai di sini telah ditemui dalam keadaan lemah.

Komander Operasi, Pegawai Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Khairi Zainudin berkata, mangsa ditemukan pada pukul 12.30 tengah malam, semalam.

Menurut beliau, mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan selamat setelah diberikan rawatan awal beserta makanan.

“Mangsa berjaya ditemui selepas dia bertindak menyahut panggilan yang dibuat oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR), lokasi kejadian adalah di dalam kawasan semak belukar dan bukannya di laluan ‘jungle tracking’.

“Sejurus selepas pasukan SAR mendengar suara mangsa, mereka bertindak membuka laluan menghala ke arah suara berkenaan sebelum berjaya menyelamatkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Khairi, mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum operasi berkenaan ditamatkan pada pukul 3.30 pagi tadi.

Semalam, Kosmo! melaporkan mangsa, Lee Chin Chai hilang selepas keluar mendaki bersendirian di kawasan berkenaan sejak pukul 7 pagi kelmarin. Kehilangannya dilaporkan oleh kakak mangsa yang berasa bimbang setelah mangsa tidak pulang.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Johor, Datuk Salim Aman berkata, pihaknya menasihati orang awam agar mematuhi arahan penutupan trek pendakian yang dikeluarkan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kemalangan ketika musim tengkujuh ini.

“Sekiranya dibenarkan melakukan pendakian, hendaklah menggunakan laluan yang disediakan di samping mendapatkan khidmat Malim Gunung Perhutanan (MPG) terutamanya bagi mereka yang tidak biasa mendaki atau meredah hutan.

“Pendaki juga diingatkan agar tidak mendaki secara bersendirian kerana ianya sangat merbahaya,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI