fbpx

Mahkamah: Pengasuh tekup muka budak dipenjara 7 hari, denda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Perbuatan seorang pengasuh menekup muka dan menarik rambut dua kanak-kanak asuhannya memakan diri apabila dia dikenakan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM32,000.

Hukuman dibuat Hakim Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini.

Tertuduh, Siti Rosliza Mukthar, 47, mengaku bersalah atas dua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Norina Zainol Abidin dan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud.

Di hadapan Hakim Norina, Siti Rosliza yang dihukum penjara tujuh hari dan denda RM20,000 bagi kesalahan menganiaya kanak-kanak perempuan berusia setahun dua bulan dengan cara menyerkup kepala mangsa menggunakan plastik.

Sementara itu, di hadapan Hakim Nu’aman, wanita itu dihukum penjara sehari dan denda RM12,000 kerana menganiaya kanak-kanak lelaki usia sama dengan mengheret tangan mangsa secara kasar dan menarik rambut.

Kedua-dua perbuatan itu mungkin akan menyebabkan mangsa cedera fizikal yang mana kesalahan itu dilakukan di sebuah taska di Brickfields di sini pada pukul 3.19 petang dan 5.36 petang, 16 November lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Hukuman penjara itu berjalan serentak bermula hari ini. Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh berdepan hukuman penjara tambahan selama 18 bulan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Khaliq Nazeri dan Noorhani Muhmmed Ayub memohon hukuman setimpal kerana tindakan tertuduh boleh menyebabkan kecederaan serius pada fizikal mangsa.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan dengan alasan perlu menanggung ibu bapa dan adik-beradik.

“Saya sudah tidak bekerja dan mempunyai pinjaman pembiayaan yang perlu dilunaskan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI