GEORGE TOWN – Dua kenalan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan melakukan perbuatan khianat di kediaman seorang peminjam wang ah long, Julai lalu.
Tertuduh, Chua Kean Seng, 57, dan Junazry Abdul Hamid, 44, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh telah melakukan khianat dengan merosakkan harta rumah pengadu iaitu pagar rumah dengan niat menyebabkan kerosakan harta dengan nilainya melebihi RM25 di Jalan Pantai Molek, Tanjung Tokong, kira-kira pukul 1 tengah hari, 17 Julai lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dengan membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit bersalah.
Mahkamah kemudiannya memerintah Kedua-dua tertuduh membayar denda sebanyak RM4,000 setiap seorang atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syairah Aqilah Khalil manakala Kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Khairul Fairuz Rahman dan Mohammad Nik Arif.
Difahamkan, tertuduh telah membayar denda yang dikenakan mereka tengah hari tadi. – KOSMO! ONLINE