KANGAR – Kerajaan negeri menyifatkan kenyataan Menteri Ekonomi, Mohd. Rafizi Ramli sebagai negeri pertama memohon bantuan daripada kerajaan persekutuan sebagai satu penghinaan.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, tindakan itu dianggap penghinaan buat rakyat negeri ini yang memilih Perikatan Nasional (PN) dan seolah-olah menggambarkan kerajaan Perlis meminta sedekah kepada kerajaan Persekutuan.
“Perkara itu sepatutnya tidak dipolitikkan dan Rafizi seharusnya lebih memahami konsep federalisme dalam pentadbiran kerajaan di negara ini.
“Saya bukannya pergi sendiri untuk memohon bantuan tetapi dijemput oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu dalam suasana mesra dan harmoni,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-15, hari ini.
Rafizi mengeluarkan kenyataan tersebut
sewaktu membahaskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri semalam dianggap seolah-olah menyindir kerajaan Perlis pimpinan PN menjadi negeri pertama yang memohon bantuan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurut Mohd. Shukri, beliau amat berbesar hati atas jemputan diberikan itu dan bukannya memohon sendiri untuk jumpa perdana menteri.
“Itu sebabnya saya rasa cukup bangga dan hal ini tidak perlu dipolitikkan kerana perjumpaan menteri besar dan perdana menteri adalah perkara biasa.
“Menerusi pertemuan itu juga, kerajaan negeri memohon peruntukan pendahuluan untuk emolumen bagi tahun hadapan dan turut diluluskan oleh perdana menteri,” jelasnya.
Tambahnya, pihaknya juga meminta pertimbangan perdana menteri agar dapat meneruskan semula pengoperasi zon aliran bebas di Wang Kelian bagi merancakkan kembali aktiviti ekonomi di kawasan itu.
“Kita telah minta perkara ini kepada perdana menteri dan beliau akan meneliti terlebih dahulu mengenai pembukaan semula Wang Kelian,” katanya.