CAMERON HIGHLANDS – Sebuah kawasan perumahan di Kampung Raja di sini dilanda banjir akibat hujan yang berterusan hampir setiap hari.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Muhammad Fadeli Abu Sirin berkata, pihaknya bergerak ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan mengenainya pada pukul 6.30 petang.
“Hujan berterusan menyebabkan berlaku sedikit kenaikan air yang melibatkan sebuah kawasan perumahan di Kampung Raja.
“Keadaan itu menyebabkan penghuni satu unit rumah di situ meminta untuk dipindahkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada masa sama, Muhammad Fadeli berkata, hujan masih turun di lokasi tersebut dan pihaknya telah menempatkan anggota di sana bagi memantau keadaan. – KOSMO! ONLINE