KUALA LUMPUR – Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) akan mewujudkan satu task force bagi mengkaji gaji permulaan buat jurutera di negara ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia berikutan isu gaji permulaan profesion teknikal dalam negara ini dikatakan agak rendah jika dibandingkan dengan negara-negara di luar.
Katanya, isu gaji juga mungkin menjadi faktor utama kurangnya minat golongan muda untuk menceburi bidang teknikal di negara ini.
“Merujuk kepada maklumat daripada Lembaga Jurutera Malaysia BEM, nisbah jurutera kepada populasi rakyat Malaysia hanya 1:170 berbanding dengan negara-negara maju yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Profesion Teknikal Negara (HTPN) 2022, secara dalam talian di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Wira Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.
Tambahnya, beliau juga berharap syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga disarankan melibatkan kalangan profesional teknikal di dalam tadbir urus syarikat seperti Ahli Lembaga Pengarah atau Ketua Pegawai Eksekutif.
“Usaha yang lebih agresif dan proaktif perlu direncanakan dengan melantik lebih ramai golongan profesion teknikal mengisi jawatan-jawatan strategik dan pembuat dasar diperkhidmatan awam,” ujarnya.
Nanta juga berkata pemerkasaan latihan dan pendidikan untuk bidang Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diperkukuhkan bagi menyediakan ekosistem yang positif bagi melahirkan pakar-pakar yang berkemahiran tinggi.
“Sehubungan itu, saya menyeru agar penggerak industri bersama-sama dengan kementerian dalam usaha untuk menggalakkan TVET kepada semua lapisan masyarakat.
Sementara itu, Wan Ahmad ketika sidang media memaklumkan gaji permulaan jurutera yang dicadangkan adalah sekitar RM2,800 hingga RM3,500 di masa akan datang.
“Gaji dalam kerajaan pada tahun-tahun tertentu mesti buat kajian mengenai kenaikan gaji bukan di sini sahaja tetapi semua kementerian juga buat kajian kenaikan tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE