PETALING JAYA – Tindakan dua pemuda di Kelantan yang videonya tular apabila makan roti yang dicicah air bah, ditegur seorang doktor.
Pengerusi MedTweetMy, Dr. Khairul Hafidz Alkhair Khairul Amin menerusi Twitter, menggesa orang ramai supaya tidak mengikuti perbuatan itu kerana bimbang memudaratkan kesihatan kelak.
“Saya ada nampak di TikTok ada yang cicah roti dengan air banjir. Mohon untuk tidak diikuti. Air banjir adalah kotor.
“Penyakit seperti taun dan keracunan makanan boleh berlaku. Saya doakan mangsa tersebut dapat diselamatkan dan dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” ujarnya.
Rata-rata netizen bersetuju dengan kenyataan Dr. Khairul itu sekaligus turut mengecam tindakan kedua-dua pemuda terbabit.
“Yang makan nasi ketika air banjir dah sipi nak cecah meja pun ada. Belum kena keracunan memang boleh sembang. Sudah kena baru berakal,” kata Fazly77.
“Sebab nak buat content (kandungan) bodoh je. Pelik-pelik budak-budak zaman sekarang ni,” kata Ami pula.
“Zaman la ni, ramai orang jadi macam sewel semata-mata mengejar tontonan, tanda suka dan wang,” ujar seorang lagi netizen. – KOSMO! ONLINE