PENGGUNAAN blok tembaga yang semakin berkurangan disebabkan kenaikan harga tembaga berbanding harga material lain telah menyebabkan kemunculan blok-blok alternatif batik.
Penggunaan blok alternatif merupakan satu cara untuk mengatasi masalah kenaikan harga blok tembaga yang bermula RM200 hingga RM600 berdasarkan kerumitan motif yang terbentuk pada tembaga.
Pereka tekstil, Nurul Najwa Ma’aris, 28, berkata, sekiranya perkara ini berterusan ia akan menyebabkan blok tembaga tidak mampu lagi dimiliki oleh industri kecil dan sederhana. Maka, dia menghasilkan satu blok alternatif diperbuat daripada sabut kelapa.
Blok sabut kelapa ini masih mengekalkan kaedah tradisional blok batik yang menggunakan lilin sebagai bahan utama untuk proses memblok.
“Blok sabut kelapa masih mengekalkan ciri-ciri utama blok dengan menggunakan bahan lilin sebagai bahan penahan dan masih mengekalkan motif reka bentuk,” ujarnya.
Projek untuk menghasilkan blok alternatif yang mampu milik ini merupakan idea Najwa di bawah seliaan Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Shah Alam, Prof. Madya Dr. Mohd.
Azhar Samin dan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan UiTM, Dr. Mohd. Nazarudin Zakaria.
Najwa memilih sabut kelapa berdasarkan hasil kajian terhadap kebolehan sabut kelapa mengatasi rintangan lilin panas dan kemampuannya dalam penyerapan bahan lilin pada permukaan kain.
“Ia selaras dengan standard batik Malaysia bahawa ‘pembuatan batik mestilah menggunakan lilin sebagai bahan asas untuk penahan bagi menghalang warna’.
“Saya gunakan sabut kelapa kerana mudah didapati, mesra alam dan murah. Melalui kaedah 3R (kurangkan, guna semula dan kitar semula) saya telah menghasilkan produk nilai tambah daripada sisa sabut kelapa kepada sesuatu yang bernilai untuk dipasarkan,” terangnya kepada K2.
Najwa turut berkongsi cara pemprosesan sabut kelapa untuk dijadikan sebagai blok.
“Kepingan sabut kelapa diekstrak dan dihancurkan menjadi serbuk gambut kelapa atau coco peat. Kemudian, coco peat diadun dan dimampatkan ke dalam acuan yang sudah direka.
“Seterusnya, coco peat itu dikeluarkan daripada acuan dan dibiarkan kering di bawah sinaran matahari sebelum digabungkan antara satu sama lain untuk menghasilkan blok sabut kelapa,” ujar Najwa.
Jelasnya lagi, proses pembuatan blok bergantung kepada keadaan cuaca. Blok perlu dijemur di bawah sinaran matahari untuk proses pengeringan.
Proses pembentukan blok bagaimanapun tidak mengambil masa lama kerana menggunakan kaedah acuan yang hanya perlu dimampatkan.
Antara bahan lain yang diperlukan untuk membuat blok alternatif itu adalah gam PVA dan kanji di mana dua bahan ini diadun bersama serbuk gambut kelapa untuk menghasilkan blok ini.
Kongsi Najwa, sabut kelapa boleh didapati daripada peniaga yang menjual santan dan ada juga yang dijual secara dalam talian e-dagang dalam bentuk sudah siap diproses menjadi coco peat dengan harga murah.
Satu set blok sabut kelapa cuma memerlukan 500g gambut kelapa, namun bergantung kepada tahap kehalusan gambut kelapa yang terhasil daripada pengekstrakan kepingan sabut kelapa tersebut.
“Saya tertanya-tanya bahan apa berada di sekeliling kita yang boleh diuli seperti doh, diukir seperti ubi kentang dan dicantum seperti lego.
“Akhirnya, saya memilih untuk menggunakan sabut kelapa kerana sifatnya yang tahan lama dan tahan panas untuk dijadikan bahan blok alternatif,” ujarnya tentang bagaimana ilham itu tercetus.
Ujar Najwa, projek ini merupakan projek pertamanya dan dia mula memperkenalkan blok alternatif baharu ini kepada umum.
Terdapat empat set blok inovasi mampan telah dihasilkannya dalam projek TUKANG yang merupakan projek anjuran Tourism Selangor. Setiap blok mengandungi 16 blok asas dengan 35 blok motif berbagai saiz dan bentuk.
“Saya membuat motif-motif yang terdapat di negeri Selangor dan motif utama saya adalah bunga tanjung pecah sembilan yang turut melambangkan bunga rasmi negeri ini.
“Saya juga gunakan motif bunga dan haiwan yang terdapat di setiap daerah di negeri Selangor. Contohnya, motif ketam untuk daerah Klang, orkid daerah Petaling, bunga semarak api bagi Sepang dan lain-lain lagi,” katanya.
Penerapan seni ukiran tangan yang dapat mencerminkan dan melambangkan sesuatu warisan telah mendorong Najwa untuk terus berkecimpung dalam industri ini.
“Bagi saya, hasil kerja tangan ini mempunyai nilai tersendiri berbanding dengan hasil pencetakan, jadi saya mengekalkan teknik pembuatan blok yang diukir secara kreatif pada permukaan bawah blok,” jelasnya.
Pun begitu, kata Najwa, blok kelapa ini masih dalam proses pemerhatian dan pembuatan. Setelah selesai hasil kajian, dia akan membawa blok tersebut ke negeri Pantai Timur untuk diuji oleh adiguru batik blok.
“Sememangnya impian saya untuk komersialkan blok alternatif ini di dalam dan luar negara, namun saya harus kumpul maklum balas daripada pelbagai pihak dalam industri batik yang lebih mahir terlebih dahulu,” katanya.