fbpx

Banjir: Agong titah jaga anak, cucu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar rakyat yang terjejas banjir sentiasa berwaspada dan menjaga ahli keluarga masing-masing.

Titah baginda itu susulan daripada beberapa kejadian yang meragut nyawa sejak banjir melanda tiga negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan bermula Ahad.

“Saya ingin memberi nasihat kepada rakyat khusus yang dilanda banjir di Negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan harus berwaspada dengan keadaan cuaca ketika ini.

“Dengarlah arahan-arahan pihak kerajaan supaya pindah atau tinggal di PPS (pusat pemindahan sementara) di kawasan-kawasan tertentu.

“Dalam pada itu saya juga nasihat kepada kaum ibu bapa jagalah anak-anak atau cucu supaya mereka tidak kehilangan dalam keadaan macam ini,”titah baginda ketika berkenan melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Beserah Acheh di sini hari ini.

Keberangkatan Seri Paduka Baginda diiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 50 keluarga yang ditempatkan di PPS berkenaan.

Dalam pada itu baginda juga bertitah agar mangsa yang ditempatkan di PPS sentiasa bersabar dan menjaga kebersihan.

“Saya harap tempat-tempat PPS ini sentiasa berada dalam keadaan bersih dan guna bilik-bilik tandas dengan sebaik mungkin,”titahnya.

Sementara itu seorang mangsa banjir, Nur Hadawiah Daud, 29, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas sumbangan yang diterima.

Nur Hadawiah yang menetap di di Kampung Alur Ladang, Beserah berpindah ke PPS Beserah semalam bersama ibunya, Hasnah Hasim, 67, dan bapanya, Daud Awang Senik, 66.

“Menjunjung kasih Tuanku atas kurniaan sumbangan yang diberikan yang sedikit sebanyak dapat membantu dan meringankan beban kami sekeluarga,”katanya.

Mengulas kejadian banjir yang melanda kampungnya itu, Nur Hadawiah berkata, ia adalah sesuatu yang diluar jangkaan kerana rumah didiaminya itu sudah lama tidak dinaiki air. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI