SELEPAS insiden gambar dibakar gara-gara sensitiviti agama dalam filem terbaharunya, Pathaan, nama aktor terkemuka Shah Rukh Khan (SRK) sekali lagi terpalit isu panas yang menjadi perbahasan ramai.
Semuanya berpunca daripada pengumuman anak sulungnya, Aryan Khan yang berkongsi berita mengenai perniagaan membabitkan minuman keras jenis vodka premium yang sedang dijalankan ketika ini.
Diusahakan bersama dua rakan kongsi, Bunty Singh dan Leti Blagoeva, idea kerjasama bisnes minuman keras itu dikatakan tercetus ketika mereka berada di Jerman.
Selain minuman keras yang dirancang dikembangkan ke seluruh Asia, Eropah dan Amerika Utara, mereka turut menawarkan produk pakaian dan aksesori premium.
Bagaimanapun, usaha pemuda berusia 24 tahun itu mendapat kecaman netizen yang menganggap tindakannya tidak menghormati agama si bapa, sebagai seorang Muslim.
Malah segelintir pihak pula menyelar keterbukaan Raja Bollywood itu yang disifatkan terlalu memberi kebebasan kepada anak-anaknya.
Begitupun, sebelum ini SRK pernah menyatakan dia dan isterinya, Gauri yang beragama Hindu memberikan kebebasan kepada tiga anak mereka untuk membuat pilihan.
Menerusi wawancara beberapa tahun lalu, bintang Kuch Kuch Hota Hai itu berkongsi hal agama ketika mengenai menceritakan ragam anak perempuan mereka, Suhana Khan, 21, ketika zaman sekolahnya.
Suhana pada waktu itu bertanyakan tentang ruangan agama yang perlu diisi dalam borang sekolah, namun SRK menjawab agar ruangan tersebut ditulis dengan ayat ‘tiada agama’.
Apa pun, SRK yang baru-baru ini sempat mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekah dilihat semakin berhati-hati mengulas soal agama anak-anaknya sebagai menjaga sensitiviti semua pihak. – KOSMO! ONLINE