KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berterima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meneruskan aspirasi Keluarga Malaysia dalam membela rakyat.
Menurut beliau, Anwar sebagai Perdana Menteri baharu meneruskan inisiatif Kerajaan Keluarga Malaysia dalam Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.
“Inisiatif-inisiatif yang diluluskan itu merupakan sebahagian daripada aspirasi Bajet Kerajaan Keluarga Malaysia dibentangkan pada 7 Oktober 2022 yang memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran ekonomi negara.
“Ia turut mengambil kira semua aspek khususnya untuk membela golongan B40 dan sebagai persediaan bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi yang diramalkan berlaku pada tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ismail Sabri berkata, antara inisiatif-inisiatif Bajet 2023 yang diumumkan oleh Anwar hari ini adalah Bantuan Awal Persekolahan, Bantuan Keluarga Malaysia, Bantuan Musim Tengkujuh, Kenaikan Gaji Tahunan Tambahan Khas 2023 dan Bantuan Khas Kewangan untuk kakitangan awam serta menyediakan 50,000 peluang pekerjaan.
Menurur beliau, kerajaan terdahulu juga berusaha sedaya upaya memastikan kos sara hidup rakyat tidak melambung tinggi.
Kata beliau, keputusan kerajaan Keluarga Malaysia pada Jun lalu untuk tidak menaikkan tarif elektrik di Semenanjung dengan menanggung kos sebanyak RM5.8 bilion dan memberi subsidi sebanyak RM1.2 bilion kepada penternak untuk tidak menaikkan harga ayam serta telur adalah antara usaha bagi meringankan beban rakyat. – KOSMO! ONLINE.