fbpx

Agroterapi Rumah Hijau Khas bantu 90 OKU cerebral palsy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TUNKU FATIMAH (tiga kiri) dan Mohd. Faris (tiga kanan) memotong riben bagi merasmikan Rumah Hijau Khas di CPJ, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Rumah Hijau Khas yang disumbangkan Kulim (Malaysia) Berhad kepada Persatuan Cerebral Palsy Johor (CPJ) bakal memanfaatkan seramai 90 pelajar persatuan berkenaan.

Pengerusi CPJ, Tunku Fatimah Faridah Tunku Osman memberitahu, kemudahan tersebut membolehkan pihaknya mengembang usaha membantu lebih ramai pelajar bagi menyediakan peluang untuk golongan terkini mendapatkan mata pencarian dan berdikari.

“Inisiatif ini sejajar dengan komitmen kami untuk mendidik, melatih, merawat dan menyediakan keperluan khas untuk pelajar-pelajar cerebral palsy.

“Kami berharap masyarakat sekitar akan menyokong projek rumah hijau ini dengan memilih untuk membeli buah-buahan dan sayur-sayuran di CPJ,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan rumah hijau berkenaan di Persatuan Cerebral Palsy Johor, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kulim, Mohd. Faris Adli Shukery dan Ketua Pegawai Operasi Kulim, Fairuz Ismail.

Rumah hijau berkenaan dibangunkan dengan peruntukan bernilai RM40,000 hasil kerjasama CPJ, Kulim dan juga Yayasan Johor Corporation sebagai kemudahan untuk sesi terapi kepada para pelajar melalui agroterapi.

Agroterapi merupakan satu bentuk terapi yang menyediakan aktiviti berstruktur dalam suasana pertanian bagi membantu mereka meningkatkan koordinasi motor, kekuatan dan daya tahan serta komunikasi melalui hubungan penyembuhan antara manusia, tumbuh-tumbuhan dan ekosistem sekitarnya.

Sementara itu, Mohd. Faris pula memberitahu, sumbangan itu merupakan salah satu daripada program khidmat sosial masyarakat pihaknya kepada komuniti tempatan.

“Sebagai pemain industri perniagaan tani, masyarakat telah menjadi pemacu utama kepada setiap kejayaan kami. Oleh itu, kami ingin berkongsi kejayaan dengan meningkatkan kualiti hidup masyarakat dalam komuniti terutamanya di mana kami beroperasi.

“Selain membantu golongan memerlukan, kami juga mahu menggalakkan masyarakat untuk membuat kebaikan melalui sumbangan, perbelanjaan atau menyumbang masa mereka kembali kepada komuniti,” ujarnya.

Pengerusi Yayasan JCorp, Rozaini Mohd. Sani pula memberitahu, pihaknya menyokong kerjasama yang bertujuan untuk memberikan impak positif kepada masyarakat khususnya golongan istimewa iaitu pelajar-pelajar cerebral palsy di CPJ dan juga masyarakat sekitar.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI