fbpx

12 penumpang cemas bas ekspres terbalik masuk gaung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan sebuah bas ekspres yang terbabas ke dalam gaung di Kilometer 24, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di Gua Musang hari ini.- Foto MEDIA SOSIAL

GUA MUSANG – Seramai 12 penumpang sebuah bas ekspres berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di Kilometer 24, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 pagi itu, 11 penumpang selamat manakala seorang penumpang perempuan berusia 21 tahun cedera pada muka.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan mendapati, bas terbabit yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun sedang dalam perjalanan membawa penumpang dari Kota Bharu menuju ke Kuantan, Pahang melalui jalan Gua Musang.

Katanya, laluan bas terpaksa ditukar daripada menggunakan laluan biasa iaitu jalan Kuala Terengganu yang terjejas akibat bencana banjir.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, bas ekspres tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kiri jalan menuju ke Gua Musang dan terbalik ke dalam cerun.

“Bas itu mengalami kerosakan teruk pada bahagian sebelah kiri, manakala kesemua 12 orang penumpang dan 2 orang pemandu terselamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Choon Foo berkata, laluan tersebut berselekoh dan cuaca hujan renyai-renyai ketika kemalangan itu berlaku.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI