IPOH – Terdapat tiga laluan yang kritikal dan berisiko berlakunya tanah runtuh di negeri ini iaitu Jalan Tapah-Cameron Highlands, Jalan Baling-Gerik dan Jalan Simpang Pulai-Blue Valley.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, ketiga-tiga jalan persekutuan itu merupakan sebahagian daripada lapan lokasi tahap risiko yang terdapat di negeri ini.
Katanya, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) menasihati para pengguna jalan-jalan tersebut agar lebih berhati-hati terutamanya ketika musim hujan yang kapasitinya sangat luar biasa.
Bagaimanapun, katanya, tiada keperluan untuk menutup kesemua jalan persekutuan tersebut buat masa ini.
“Pihak JKR telah memasang sensor dan tolok hujan di lokasi-lokasi cerun kritikal tersebut dan ia dapat memberi amaran awal kepada JKR untuk tindakan pemantauan dan kecemasan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdapat 239 lokasi cerun yang dikategorikan sebagai risiko sangat tinggi di negeri ini, 211 lokasi berisiko tinggi, 642 lokasi sederhana, 777 lokasi risiko rendah dan 1,562 lokasi sangat rendah.
Di daerah Batang Padang, jalan persekutuan yang terlibat ialah Jalan Tapah-Cameron Highlands, manakala di Hulu Perak pula ialah Jalan Baling-Grik, Jalan Kuala Kangsar-Grik-Pengkalan Hulu, jalan masuk ke Felda Lepang Nenering dan Jalan Lepang Nenering 1 dan 2.
Bagi daerah Kinta pula, jalan terlibat ialah Jalan Simpang Pulai-Blue Valley serta jalan masuk ke Stesyen VHF Bukit Kledang.
Begitu juga di Larut Matang dan Selama, laluan terlibat termasuklah jalan masuk ke Stesyen VHF Bukit Naga serta jalan masuk ke Stesyen VHF Bukit Larut. – KOSMO! ONLINE