KEJAYAAN jaguh berbasikal trek negara, Datuk Muhammad Azizulhasni Awang meraih gelaran pertamanya selepas berehat tujuh bulan membuktikan Malaysia masih boleh mengharapkan sentuhannya pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Azizulhasni, 34, menunjukkan magis hebatnya apabila berjaya meraih pingat emas acara pecut dan perak untuk kategori keirin pada edisi ke-125 Kejohanan Austral Wheelrace di Melbourne, Australia kelmarin.
Ia merupakan petanda positif daripada pemenang pingat perak dan gangsa Sukan Olimpik itu selepas terpaksa berehat tujuh bulan kerana menjalani pembedahan jantung pada April lalu.
“Saya sangat bersyukur dengan prestasi di kejohanan ini kerana kejayaan kedudukan pertama dan kedua memberikan mata penting untuk saya layak ke Nation Cup (Piala Negara-Negara di Indonesia pada Februari 2023).
“Kejohanan itu adalah antara proses kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024. Saya juga lihat prestasi saya ada peningkatan drastik berbanding perlumbaan pertama sebelum ini,” katanya.
Walaupun terpaksa menghadapi kejohanan itu seorang diri ekoran kesemua pasukannya sudah pulang berpangkalan di Nilai, Negeri Sembilan, tetapi Azizulhasni tidak merasakan ia sebagai halangan buat dirinya dalam misi terakhir untuk menggapai pingat emas Olimpik.
“Saya berbangga dapat mengharungi perlumbaan ini seorang diri kerana sayalah atlet, mekanik, helper dan jurulatih sendiri. Bukan mudah kerana setiap saat sangat bermakna.
“Saya warm up seorang diri, tukar gearing sendiri dan pelbagai saya lakukan secara multitasking. Ini adalah kali pertama saya perlu berhadapan dengan cabaran ini dan juga pada usia sebegini,” jelasnya.