fbpx

Tanah runtuh: Tempuh perjalanan sejauh 80 km ke tempat kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara pekerja Genting Highlands yang terkesan apabila laluan Jalan Batang Kali-Genting Highlands ditutup sejak Jumaat lalu bagi memberi laluan operasi SAR.

HULU SELANGOR – Kejadian tanah runtuh yang berlaku di sebuah tapak perkhemahan di sini yang menyebabkan laluan Jalan Batang Kali-Genting Highlands, Hulu Selangor ditutup seterusnya menyukarkan puluhan individu ke tempat kerja masing-masing.

Laluan itu ditutup atas faktor-faktor keselamatan orang awam selain ingin memberi laluan kepada kenderaan pihak berkuasa untuk menjalankan tugas.

Situasi itu turut memberi kesan kepada penduduk Batang Kali khususnya yang bekerja di Genting Highlands kerana terpaksa menggunakan laluan alternatif lain.

Kebanyakan mereka terpaksa berulang-alik mengikut jalan sejauh 80 kilometer (km) dengan masa perjalanan sebanyak 1 jam 30 minit berbanding perjalanan yang sepatutnya mengambil masa hanya 30 minit (30 km) jika mengambil laluan yang ditutup.

Muhammad Aliff Faizal Roslan, 27, yang menetap di Batang Kali dan berkerja di sebuah butik pakaian di Genting Premium Outlet, terpaksa berulang-alik mengikut laluan alternatif yang telah ditetapkan.

Jelasnya, dia dan isteri yang turut bekerja di tempat sama, perlu menaiki kereta sehingga terpaksa mengeluarkan kos perbelanjaan yang besar kerana jarak perjalanan jauh

“Sejak hari pertama, saya dan isteri berulang-alik mengikut laluan alternatif yang jauh. Biasanya memang akan ikut Jalan Batang Kali-Genting Highlands yang hanya memakan masa 20 hingga 25 minit menaiki motosikal.

“Tambah pula isteri juga sedang sarat mengandung enam bulan, jadi memang perlu naik kereta kalau guna laluan alternatif. Kos tol pergi balik sahaja untuk sehari dah telan sehingga RM12.

“Biarpun terkesan, namun kami berharap agar pencarian mangsa yang hilang dipermudahkan dan laluan itu dapat ditambah baik bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berulang lagi,” ujarnya.

Muhammad Farhan Mustapa Kamal, 23, memberitahu, dia yang menetap di Tamu Hill Park, Batang Kali, terpaksa menempuh perjalanan selama tiga jam untuk ke tempat kerja.

“Laluan alternatif itu sahaja satu-satunya laluan untuk ke Genting Highlands. Hari pertama pun saya terpaksa ambil cuti pada saat akhir setelah pihak pengurusan tidak dapat bertolak ansur,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Batang Kali, Shafikah Mohamed, 26, berkata, dia kini menetap di hostel syarikat buat sementara waktu bagi mengurangkan kos perjalanan.

Dia yang bekerja sebagai penjual di sebuah butik kasut, Genting Highlands, berasa terkesan apabila Jalan Batang Kali-Genting Highlands yang telah dilaluinya selama lima tahun ditutup sementara.

“Saya harap operasi dapat diselesaikan dengan segera agar semua pihak yang terkesan dengan situasi ini dapat meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI