PUTRAJAYA – Orang ramai dilarang meletakkan bunga di tembok Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur sebagai tanda penghormatan terakhir kepada mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor.
Perkara berkenaan dijelaskan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan menerusi hantaran laman sosial rasminya sebagai merujuk kepada tindakan sekolah itu melarang perkara berkenaan.
“SJKC Mun Choong telah dikunjungi ramai orang untuk memberikan penghormatan terakhir, tetapi pihak sekolah buat sekatan dan meminta tiada bunga atau lilin diletakkan.
“Mana-mana pihak yang berhasrat memberikan penghormatan terakhir kepada mangsa boleh berbuat demikian dengan pergi terus ke lokasi pengebumian yang ditetapkan,” katanya.
Pada masa sama, SWCorp juga diminta untuk segera membuang jambangan bunga itu selain menampal notis larangan sebagai langkah kebersihan dan keselamatan kawasan berkenaan. – KOSMO! ONLINE