HULU SELANGOR – Polis telah mengenal pasti identiti pemilik lima daripada tujuh kenderaan yang tersadai di lokasi tanah runtuh di tapak perkhemah Father’s Organic Farm Jalan Batang Kali Genting Highlands.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, dua daripada lima kenderaan tersebut disahkan adalah milik mangsa yang meninggal dunia.
“Kedudukan kenderaan di lokasi setakat ini adalah tujuh kenderaan dan lima telah dikenal pasti.
“Dua kenderaan milik mangsa maut, dua milik mangsa selamat, manakala satu lagi milik mangsa yang masih hilang,” katanya ketika sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Suffian selaku komandan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi tanah runtuh menyeru mana-mana pihak yang mempunyai saudara mara atau kenalan hilang dalam insiden ini untuk tampil membuat laporan polis segera.
“Setakat ini hanya satu laporan sahaja yang pihak polis terima berkaitan orang hilang,” ujarnya.
Suffian turut mengingatkan orang ramai untuk tidak menularkan sebarang gambar atau video mangsa kejadian bagi menjaga aib mereka.
Setakat pukul 12.30 tengah hari ini, seramai 24 mangsa disahkan maut, manakala baki sembilan lagi masih sedang dicari.
Keseluruhan mangsa yang terlibat dalam insiden tanah runtuh dilaporkan seramai 94 orang dan 61 daripadanya selamat. – KOSMO! ONLINE