Takziah diucapkan kepada semua waris mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali. Benar sekali pepatah Melayu malang tidak berbau.
Penulis tidak mahu menuding jari siapa bersalah di sini, namun ingin mengusul langkah yang boleh membantu agar insiden serupa tidak berulang.
Beberapa tahun lalu, saintis-saintis iklim memberi amaran bahaya perubahan iklim dunia dalam pelbagai sidang dan pembentangan.
Kupasannya, bencana alam yang melanda dunia seperti taufan, banjir, puting beliung, hujan monsun dan tanah runtuh bukan sahaja akan menjadi lebih kerap, bahkan bertambah ekstrem di serata benua.
Negara kita Malaysia tidak terkecuali daripada amaran tersebut.
Sebagai contoh, negara India merekodkan hampir 200 kejadian tanah runtuh pada tahun ini sahaja, yang mengorbankan ratusan, mungkin ribuan nyawa penduduknya.
Di negara jiran, Indonesia pula, Badan Nasional Pengurusan Bencana melaporkan negara itu ditimpa lebih 3,200 bencana alam setakat November tahun ini dengan malapetaka hidrometeorologi seperti banjir kilat dan tanah runtuh merangkumi lebih 90 peratus bencana alam yang berlaku.
Negara kita seperti juga Indonesia, sememangnya menerima taburan hujan hampir sepanjang tahun dengan musim tengkujuh di akhir tahun menyaksikan hujan maksimum. Justeru, bencana alam sudah dapat dijangka dan kita tidak harus menunggu malapetaka seperti tanah runtuh dan kepala air menjadi lebih berdarah serta meragut lebih banyak nyawa.
Natijahnya, sistem amaran awal bagi bencana tanah runtuh dan banjir kilat harus diwujudkan bagi mengelak tragedi serupa berulang.
Sebagai contoh, pemetaan kawasan yang berulang kali dan pernah berlaku tanah runtuh perlu dilakukan dan dilabel sebagai lokasi berisiko. Peta lokasi-lokasi ini pula harus diuar-uarkan.
Aplikasi ‘cuaca kita’ yang memberi ramalan cuaca dan maklumat mengenai ribut dan bencana seperti tanah runtuh mirip My Sejahtera harus diwujudkan dan maklumatnya harus terkini khusus untuk Malaysia.
Mungkin juga aktiviti riadah seperti camping di lokasi-lokasi berisiko menjelang musim tengkujuh atau monsun perlu ditegah dengan penglibatan aktif pihak berwajib.
Nah, di sini lah pemetaan dan sistem amaran awal memainkan peranannya. Tanpa sistem amaran awal dan lebih baik, sistem amaran integrasi atau berpusat, bencana seperti ini lebih mengancam nyawa orang ramai.
Pada era ini, pelbagai teknologi sistem amaran elektronik berada dalam pasaran.
Di masa hadapan pula, mungkin semua lokasi camping harus berada dalam pemantauan pihak berwajib sama ada di tanah kerajaan atau persendirian.
Penulis mencadangkan sistem amaran awal dan pemetaan zon berisiko supaya rakyat mengetahui mana lokasi selamat dan mana lokasi lebih berbahaya.
Sememangnya, kita tidak boleh mengelak bencana alam seratus peratus tetapi ketika risikonya semakin meningkat, kita wajar mewujudkan sistem amaran awal seperti sistem amaran tsunami.