KUALA LUMPUR – Pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah terlatih dari segi emosi dan fizikal meskipun masuk hari keempat operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Father’s Organic Farm, Hulu Selangor.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, walaupun keletihan, anggota yang terlibat misi SAR akan terus melaksanakannya dengan penuh komitmen.
“Pegawai dan anggota PDRM sememangnya sudah terlatih dari segi emosi dan fizikal dalam apa jua cabaran dan keadaan terutama melibatkan bencana seperti SAR.
“Setiap penugasan mereka telah diatur baik dengan mengambil kira aspek kebajikan dan kepakaran masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Acryl, penerapan dari segi pengetahuan dan kemahiran pengurusan diikuti aspek psikologi menjadi kekuatan anggota meneruskan misi SAR.
“Alhamdulillah, kerjasama daripada pelbagai agensi dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) terlibat, petugas SAR sentiasa cekal dan bersemangat dalam menjalankan tugas.
“Insya-Allah, sama-sama kita berdoa semoga semua urusan dipermudahkan dan semua mangsa yang hilang ditemui,” katanya. -KOSMO! ONLINE