HULU SELANGOR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki sembilan mangsa bencana tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm Jalan Batang Kali-Genting Highlands di sini sudah memasuki hari keempat, hari ini.
Operasi SAR dilaksanakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Setakat pukul 8 pagi ini, semua petugas SAR siap sedia untuk meneruskan usaha mencari lagi mangsa yang masih belum ditemui.
Semalam, Kosmo! melaporkan operasi SAR terpaksa ditangguhkan sekitar pukul 8.15 malam akibat hujan lebat dan kabus tebal di lokasi kejadian.
Terdahulu, dalam tragedi 2.42 pagi Jumaat, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan itu.
Insiden tersebut melibatkan 94 mangsa dan daripada jumlah itu, 61 dilaporkan selamat manakala 24 lagi disahkan terkorban serta sembilan masih hilang. – KOSMO! ONLINE