fbpx

Tanah runtuh: Operasi SAR seharian gagal temui baki 9 mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan penyelamat melakukan operasi SAR yang memasuki hari keempat hari ini. - Foto FARIZ RUSADIO

HULU SELANGOR – Tiada penemuan baharu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki sembilan mangsa insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands pada hari keempat, setakat pukul 7 malam ini.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, hampir seharian pasukan SAR menjalankan usaha mengesan mangsa di lokasi insiden pada hari keempat operasi.

“Kawasan ‘spot’ kita buat telah memenuhi keseluruhan, dah negatif dan sampai ke tanah asal masih belum menemui tanda berkaitan dengan mangsa,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Hafisham, pihaknya telah meluaskan usaha SAR dengan menugaskan tujuh anggota bomba menggunakan teknik pencarian sekunder (sweeper) ke kawasan sekitar lokasi tanah runtuh termasuk sungai berdekatan.

“Selepas usaha kita dalam empat hari belum menunjukkan petanda mangsa, kita gerakkan kaedah ‘sweeper’ seramai tujuh orang termasuk ketua yang akan mengesan di sungai-sungai, air keroh atau mana-mana berdekatan air.

“Usaha ini melihat kepada kemungkinan mangsa berada di situ selepas dihanyutkan atau mungkin mangsa tersangkut di pokok, kita tinjau keseluruhan tempat,” ujarnya.

Katanya lagi, operasi SAR pada hari ini telah melibatkan penambahan jentera berat menjadikan sembilan buah kesemuanya untuk mengasingkan tanah ke kawasan yang lain supaya tidak berkumpul di satu tempat sama.

“Kita juga telah menggunakan kaedah menebang pokok untuk dijadikan lantai di tapak tanah runtuh bagi memudahkan jentera bergerak kerana tanah di sana lembik dan berlumpur ekoran hujan lebat semalam.

“Kalau kita tak lakukan cara ini, jentera yang digunakan juga boleh terbenam dalam lumpur,” jelasnya.

Dalam pada itu, jumlah mangsa insiden tanah runtuh yang masih tidak ditemui kekal seramai sembilan orang sejak semalam, manakala 24 mangsa disahkan meninggal dunia dan telah dituntut waris masing-masing. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI