fbpx

Tanah runtuh: MCMC komited pastikan SAR dan pelaporan media lancar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kakitangan TM melakukan kerja-kerja pemasangan alatan telekomunikasi bagi melancarkan proses perhubungan pasukan SAR dan petugas media. - Foto IHSAN MCMC

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah menggerakkan ‘Emergency Disaster and Response Team (EDRT) di kawasan tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm di Batang Kali, Selangor susulan kejadian tanah runtuh Jumaat lalu.

Jabatan Komunikasi Korporat MCMC berkata, penyedia perkhidmatan utama seperti TM, Celcom, Digi, Maxis dan UMobile juga telah diarahkan untuk segera menganalisa dan menggerakkan aset-aset komunikasi di tempat kejadian.

“MCMC juga telah meminta bantuan badan bukan kerajaan (NGO), Malaysian Amateur Radio Emergency Service (MARES) bagi menyediakan komunikasi alternatif dengan menggunakan teknologi radio amatur bagi kegunaan para penyelamat berhubung secara pantas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas MCMC, NGO berkenaan juga telah tiba lebih awal pada hari tersebut di tempat kejadian bencana bagi memantu agensi-agensi lain menyelamatkan mangsa-mangsa.

Ujarnya, dalam situasi bencana, komunikasi adalah keperluan terpenting kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bagi memastikan koordinasi antara pasukan dan agensi yang terlibat dilaksanakan secara efektif.

“Selain keutamaan kepada SAR, pengamal-pengamal media yang bertungkus-lumus di lapangan juga memerlukan komunikasi yang terbaik bagi melaporkan situasi dan perkembangan terkini melalui platform berita dan media masing-masing.

“Walau bagaimanapun, pihak MCMC cakna saranan oleh Menteri Komunikasi dan Digital berkaitan prosedur operasi standard (SOP) akses telekomunikasi di kawasan bencana. MCMC akan meneliti bersama pemegang taruh untuk memperkemaskan lagi SOP sedia ada,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu, pelbagai cabaran dihadapi dalam memberikan perkhidmatan di lokasi tapak bencana, antaranya ketiadaan bekalan elektrik, bentuk muka bumi yang berbukit bukau dan jarak pemancar penyedia perkhidmatan masing-masing.

“Ini secara tidak langsung menyebabkan teknologi seperti gelombang mikro tidak dapat digunakan kerana ketiadaan Line Of Sight (LOS) jadi pihak TM telah menyediakan tindakan alternatif dengan menarik dan menyediakan kabel gentian optik sejauh 2 kilometer dari Nod Awana Genting dan penyediaan MoVIC (sel IP boleh alih) TM di tapak bencana.

“Ia seterusnya membolehkan teknologi Multi Operator Core Network (MOCN) digunakan oleh penyedia perkhidmatan dan memberikan liputan bagi rangkaian masing-masing,” jelasnya.

Mengulas lanjut, MCMC berkata, kemudahan komunikasi telah disediakan di tapak bencana seawal pukul 3 pagi 17 Disember lalu apabila semua penyedia perkhidmatan terlibat berjaya
memberikan perkhidmatan masing-masing melalui Coverage on Wheels (COW).

“Pemantauan MCMC mendapati kesemua penyedia perkhidmatan telah berjaya mencapai kualiti liputan selular yang amat baik melebihi 50Mbps.

“Selain itu pihak TM juga telah menyediakan perkhidmatan Unifi wifi percuma berkelajuan 800Mbps di khemah agensi-agensi terlibat SAR manakala satu Access Point sama juga telah
diletakkan di Trak Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) selaku penyelaras kepada pengamal-pengamal media,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI