fbpx

Tanah runtuh: Hujan lebat, ketebalan lumpur cecah 16 meter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan penyelamat melakukan operasi SAR baki sembilan mangsa di lokasi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, semalam. -Foto oleh FARIZ RUSADIO

HULU SELANGOR – Hujan lebat yang berlaku sejak petang semalam hingga ke malam telah menyebabkan ketebalan lumpur di lokasi kejadian tanah runtuh di tapak perkhemah Father’s Organic Farm Jalan Batang Kali-Genting Highlands meningkat kepada 16 meter hari ini.

Perkara itu dimaklumkankan oleh Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd. Noor, pada sidang media, di sini hari ini.

Katanya, struktur tanah tersebut lembek dan berlumpur serta usaha pencarian dilaksanakan secara berhati-hati termasuk mengambil kira segala faktor.

“Cabaran hari ini adalah keadaan tanah sebab semalam hujan lebat dan hari ini tanah lembek, berlumpur.

“Ketinggian tanah jadi meningkat dari asal disebabkan penambahan tanah gelincir menjadikan ketinggian terkini lebih kurang 16 meter yang paling tinggi dicatatkan bacaan,” katanya.

Sehubungan itu, Hafisham berkata, pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sembilan lagi mangsa yang hilang dalam insiden tersebut akan difokuskan di bahagian tanah paling tinggi.

“Kita tumpu kepada tempat yang kita belum laksanakan pencarian yang kita rasa di situ kemungkinan besar kita akan jumpa baki mangsa termasuk di kawasan tanah 16 meter itu dan kita akan gali sampai ke dasar.

“Kita juga tumpu pada sektor C dan A, lapan ekskavator berada di lapangan untuk memudahkan dan percepatkan operasi SAR,” ujarnya.

Tambahnya lagi, operasi SAR hari ini disertai seramai 135 anggota terdiri daripada pasukan penyelamat dan dibantu Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang bermula seawal pukul 8 pagi tadi.

“Kita dapat maklumat daripada pegawai keselamatan yang dilantik untuk memantau gelincir tanah, risiko untuk berlaku gelinciran adalah rendah, kita lega untuk jalankan operasi hari ini.

“Harap usaha hari ini membuahkan hasil sebab semalam tak ada hasil dan kita terkilan, kecewa kerana seharian berusaha masih belum temu mangsa yang masih hilang,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI