SUNGAI BULOH – Memasuki hari ke empat, Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh kelihatan lengang seketika daripada menerima mangsa bencana tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm Jalan Batang Kali-Genting Highlands hari ini.
Ia berikutan tiada mangsa yang dibawa ke jabatan berkenaan susulan belum ada penemuan di tapak perkemahan itu setakat pagi ini.
Namun, kelihatan pengamal media tempatan masih setia berada di luar perkarangan jabatan itu untuk menyalur perkembangan semasa mangsa bencana terbabit.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki sembilan mangsa bencana tanah runtuh di tapak perkhemahan disambung semula pada hari ini.
Operasi SAR dilaksanakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula 8 pagi tadi.
Dalam tragedi 2.42 pagi Jumaat lalu, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan itu.
Insiden tersebut melibatkan 94 mangsa dan daripada jumlah itu, 61 dilaporkan selamat manakala 24 lagi disahkan terkorban serta sembilan masih hilang. – KOSMO! ONLINE