PETALING JAYA – “Minat. Mestilah minat. Kalau tak, buat apa saya bawa (nyanyi).”
Demikian jawapan bersahaja seorang peserta remaja wanita program realiti, All Together Now Malaysia musim kedua yang disifatkan biadab oleh netizen.
Berusia 16 tahun dan bertudung, ramai tidak berpuas hati dengan cara remaja berkenaan menerima kritikan salah seorang juri iaitu Catriona Ross atau Kak Kek usai mendendangkan lagu asal nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza berjudul Ku Milikmu.
Ketika program berlangsung, bahasa tubuh, riak wajah serta jawapan peserta bernama Fika itu membuatkan ramai menggelengkan kepala termasuk daripada Kapten atau ketua juri pertandingan nyanyian terbabit, Datuk Syafinaz Selamat.
“Nasib baik awak bukan anak murid saya. Kalau anak murid saya jawab dengan saya begitu, dah lama awak (menangis).
“Hati-hati bila menjawab. Bila orang bertanya soalan, kita kena cantik sikitlah bahasa kita, dik.
“Saya rasa, adik punya ‘tone’ sedap (besar). Untuk budak yang berusia 16 tahun, ‘tone’ itu cantik. Adik perlu belajar banyak lagi dalam nyanyian,” kata Syafinaz, 49.
Dalam pada itu, Catriona menerusi Instagram memanjangkan teguran buat remaja terbabit. Katanya, empat perkara yang perlu diutamakan kalau ingin membina nama dalam industri seni.
“Pertama, perangai. Jaga tutur kata. Bagaimana anda bercakap menunjukkan karakter anda.
“Kedua, hormat. Bila ada bersifat menghormati sesama kita, kita akan sangat disenangi. Malah, akan juga diingati.
“Ketiga, disiplin. Ini kunci penting mengapa ramai orang berjaya dalam hidup. Keempat, merendah diri. Sangat penting. Terlalu,” coret Catriona atau nama sebenarnya, Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross, 42.
All Together Now Malaysia ialah rancangan televisyen realiti versi Malaysia yang diadaptasikan dari rancangan All Together Now dari United Kingdom.
Musim kedua rancangan tersebut mula disiarkan pada 11 Disember 2022 dihoskan oleh Sherry Alhadad serta diadili 50 juri yang diketuai oleh Syafinaz Selamat.- KOSMO! ONLINE